Peranca merupakan satu binaan sementara yang diperlukan dalam pembinaan bangunan yang melebihi ketinggian 1.5m. peranca memudahkan pekerja menjalankan kerja seperti mengikat bata, melepa, memasang siling, pendawaian elektrik, mengecat dan sebagainya di tempat yang tinggi. Bahan peranca terdiri daripada kayu, buluh, paip tiub keluli dan aloi aluminium yang berkeadaan baik. Komponen peranca terdiri daripada tiang, rembat, topang dan banyak lagi.
FUNGSI PERANCA
- Digunakan sebagai laluan kepada pekerja
- Digunakan sebagai tempat sementara bagi meletakkan bahan kerja
- Digunakan sebagai penyokong sementara bagi kotak bentuk lantai atas
- Digunakan untuk membuat kerja di tempat yang tinggi
- Pelindungan untuk orang awam
FAKTOR PEMILIHAN PERANCA
- Keperluan kerja yang perlu disiapkan segera
- Keadaan tanah
- Bajet projek
- Ruang tapak yang terbatas
- Reka bentuk bangunan
PERANCA PUTLOG TUNGGAL
Peranca ini boleh dibina menggunakan kayu bakau bulat atau kayu. Ia amat sesuai digunakan untuk kerja menerap bata, melepa, mengecat dan sebagainya di tempat yang tinggi di sebelah luar bangunan. Sebahagian peranca akan disokong oleh tembok kerana hujung putlog dimasukkan ke dalam tembok.
Peranca putlog tunggal mempunyai satu barisan tiang tegak dengan jarak 1.8 –2.4 m. Kedudukan peranca ini adalah 1.2 –1.3 m dari permukaan dinding. Tiang tegak dipaku ke atas tapak kayu dan didirikan tegak dengan diikat pada lajer. Lajer dan bridel dipasang selari dengan dinding sepanjang peranca dan jarak antaranya adalah 1.4 m. Anggota putlog diikat pada lajer dan bridel dengan jarak di antara 1.2 –1.4 m dan hujung sebelahnya dimasukkan ke dalam dinding bata sedalam 80 mm. Semua lubang bekas putlog hendaklah dilepa selepas kerja –kerja perlaksanaan dilakukan.
Satu langkah yang perlu diambil untuk mengukuhkan peranca ialah
dengan cara memasang rembat secara bersilang kepada tiang tegak yang bertemu dengan lejer dan putlog. Pelantar peranca dibuat daripada papan –papan setebal 30 –38 mm dan unjuran daripada putlog tidak melebihi empat
kaki tebalnya. Sebagai langkah keselamatan, tepi pelantar yang jauh dari tembo
dipasangkan papan pacak dan susur pelindung sebagai langkah keselamatan. Papan –papan pelantar disokong oleh putlog dan transom. Semua sambungan untuk peranca hendaklah dipaku atau diikat dengan rotan atau tali.
PERANCA JULUR
Peranca julur (truss-out) adalah sejenis peranca tetap. Peranca ini dipilih jika tapak pembinaan terlalu sempit. Ia juga digunakan apabila kerja –kerja pembinaan hanya dilakukan pada tingkat atas sahaja tanpa melibatkan tingkat bawah. Cara pemasangannya adalah sama dengan pemasangan peranca put log tunggal kecuali ia mempunyai tambatan yang dibina melalui bukaan tembok.
Tambatan ini terdiri daripada dua baris topang yang dibaji di antara lantai bawah dengan lantai atas di dalam bangunan. Pada kedua-dua barisan topang dipasang transom melintang yang menjujur ke peranca luar dengan terikat pada tiang tegak. Kekuda topang sendeng dipasang bersudut 45 darjah untuk menyokong bahagian bawah peranca. Jaring dawai dipasang di bahagian bawah peranca untuk memastikan keselamatan pekerja yang lalu atau bekerja di bawah bangunan tersebut. Had maksimum ketinggian peranca ini yang selamat digunakan ialah 12 m.
Selain tambatan yang menggunakan topang yang dibaji di antara lantai bawah dengan lantai atas di dalam bangunan ada juga yang hanya mengikat transom pada lantai bawah sahaja tanpa memasang topang yang dibaji di antara lantai bawah dengan lantai atas di dalam bangunan. Kaedah ini boleh digunakan tetapi perlu mengambil kira jumlah beban yang akan ditanggung oleh peranca.
PERANCA GANTUNG
Peranca gantung mengandungi pelantar yang digantung dari struktur atas bangunan menggunakan tali atau kabel. Peranca gantung mempunyai 8 jenis. Pemilihan peranca perlu dibuat dengan teliti. Pertimbangan terhadap kesesuaian lokasi dan kemudahan yang ada perlu diambil kira. Prosedur tertentu perlu dipatuhi bagi memastikan setiap pekerja selamat apabila bekerja di atasnya. Peraturan OSHA menyatakan yang pekerja mesti dilatih memasang dan menurunkan peranca gantung dengan cara yang betul, penggunaan dan penempatan yang betul, cara mengendalikan bahan sambil bekerja di atas, pencegahan dari jatuh dan teknik perlindungan.
Peranca gantung digantung dengan tali daripada unjuran rasuk julur (outriggers), apit cucur atap atau cangkuk birai hias yang disangkut pada struktur atas bangunan. Peranca gantung juga boleh dinaikan dan diturunkan dengan kawalan hoist (lif pengangkat) yang dioperasi secara menual atau mekanikal menggunakan tali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan