Ahad, 3 September 2017

KERJA BUMBUNG






PENGENALAN

Bumbung merupakan sebahagian struktur bangunan yang paling penting kerana bumbunglah yang melindungi penghuninya daripada cuaca panas ketika siang dan sejuk ketika malam dan juga ketika hujan.

Pembinaan bumbung mestilah kukuh dan berdaya menanggung beban-beban dan tegasan yang dihadapi. Struktur bumbung dibina daripada kayu, keluli atau konkrit untuk menanggung beban bumbung itu sendiri, beban penutup bumbung dan beban angin.

Selain itu ,  bumbung juga memainkan peranan yang penting di dalam struktur sebuah rumah. selain daripada menjadi pelindung daripada cuaca panas dan hujan, bentuk bumbung memberikan nilai estetika sesebuah rumah.

Bumbung hendaklah dibina memenuhi keperluan dan fungsi seperti kestabilan, kekuatan, ketahanlasakkan, rintangan cuaca, kebakaran, sifat penebat haba dan rupa bentuk bangunan  itu sendiri.

Bumbung terdiri daripada kerangka bumbung ( kekuda bumbung) dan penutup bumbung.Fungsi kerangka bumbung adalah untuk menyokong penutup bumbung. Penutup bumbung pula terdiri daripada konkrit, kepingan zink, aluminium, genting, polikarbonat dan sebagainya.


FAKTOR-FAKTOR YANG HARUS DITIMBANGKAN DALAM REKAAN BUMBUNG BAGI BANGUNAN-BANGUNAN DI KAWASAN TROPIKA.


1. ANGIN

Pembinaan bumbung secara moden yang menggunakan bahan-bahan ringan menghadapi ancaman daripada angin kencang yang menyebabkan bumbung terangkat. Olah itu, bumbung harus dipasakkan dengan kekal dan kukuh bagi kerangka bumbung dan penutupnya.

2. PENEBATAN

Haba dalam sesebuah bangunan boleh dikawal dengan pembinaan bumbung yang sesuai. Ini boleh dilakukan dalam beberapa cara antaranya ialah menggunakan papak solar, papak sangkup bumbung palsu, bumbung berongga dan bahan-bahan yang lain seperti papan gentian, siling palsu dan sebagainya. Mengecatkan permukaan bumbung dengan warna putih boleh juga mengurangkan haba dalam bumbung. Bunyi titisan air hujan juga boleh dikurangkan dengan menempatkan bahan-bahan penebatan diantara bumbung dengan siling.

3. GANTI UDARA

Pembinaan pada bumbung untuk cahaya atau ganti udara sebaik-baiknya dielakkan jika boleh. Bumbung palsu atau siling palsu, atau tingkap tinggi adalah lebih sesuai digunakan untuk membekalkan dan mengawal udara.

4. SERANGGA

Kelawar, tikus, burung dan binatang-binatang kecil yang lain selalu memasuki ruang bumbung melalui lubang-lubang kecil di antara penutup bumbung dengan beroti. Binatang-binatang kecil ini bising dan tahinya meninggalkan tompok-tompok pada siling. Oleh itu, jejaring dawai (eave filler) hendaklah dipasang pada sekeliling penjuru bumbung untuk menghalang kemasukan binatang-binatang kecil ini.



5. KILAT

Bangunan-bangunan yang mengalami hujan panas di kawasan tropika ini, terutamanya bangunan-bangunan yang berasingan dan yang dibina di tempat tinggi, perlu dipasangkan dengan pengalir kilat (lightning conductor). Fungsi pengalir ini ialah mengadakan satu saliran yang terus menyambung ke bumi untuk mengalirkan discaj dari kilat yang dialami. Sistem pengalir kilat ini mengandungi sebatang rod kuprum yang tajam dipasangkan pada puncak bumbung (tempat yang paling tinggi pada bumbung) dan sebatang rod kuprum ditanam ke dalam tanah dan disambungkan dengan pita pengalir kuprum 25mm x 3mm antara kedua-dua rod ini. Bangunan yang panjang memerlukan lebih daripada satu pengalir kilat.
                 

6. AIR HUJAN

Untuk mengalirkan air hujan yang paling berkesan ialah dengan memasang longkang di sekeliling bangunan supaya air hujan dari bumbung disalurkan ke longkang. Saluran biasanya dibuat daripada kepingan besi bergalvani, plastik atau zink berbantuk separuh bulatan ataupun bersegi empat, dipasangkan pada papan tumpu kasau. Air hujan dari bumbung curam atau bumbung rata dikumpulkan dan disalurkan oleh paip tegak ke longkang.


TERIMA KASIH KERANA MEMBACA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan