Ahad, 3 September 2017

PENYEDIAAN TAPAK BINA









PENGENALAN


Proses pembinaan meliputi segala aktiviti yang dilakukan di tapak binaan untuk memenuhi segala kehendak lukisan dan penentuan yang terkandung dalam sesuatu dokumen kontrak binaan. Kontrak binaan ialah perjanjian yang ditandatangani oleh klien (pemilik projek) dan kontraktor (pihak yang membina). Kontrak binaan hanya menentukan hasil yang dikehendaki dan tidak menentukan bagaimana cara untuk mendapatkan hasil tersebut. Lukisan dan penentuan hanya memperincikan secara grafik dan bertulis tentang apa yang dikehendaki klien. Klien tidak berhak untuk mempersoalkan hasil yang telah disiapkan dan klien tidak berhak campur tangan dari segi kaedah atau cara pembinaan. Sebelum memulakan kerja pembinaan persediaan tapak bina perlu dilakukan.

Penyediaan tapak adalah sangat penting bagi projek binaan yang besar atau tinggi berbanding dengan binaan yang kecil.


Aktiviti-aktiviti dalam penyediaan tapak ialah:

- Mengenal pasti garisan sempadan tapak bina
- Menjalankan kerja pembersihan tapak
- Mendirikan pagar adangan (Hoarding Board)
- Menempatkan jentera berat dan kelengkapan di tapak bina
- Menyediakan binaan sementara
- Merancang tanda tapak


Penyediaan tapak dapat disimpulkan sebagai semua aktiviti yang perlu dilakukan sebelum kerja yang sebenar dapat dijalankan. Aktiviti ini adalah berbeza-beza mengikut keperluan projek dan keadaan sesuatu tapak. Bagi bangunan yang mempunyai tingkat bawah tanah, penyediaan tapak menjadi semakin penting. Ini disebabkan banyak keperluan binaan yang perlu dipenuhi. Antaranya ialah kerja korekan, sokongan tebing korekan, penyahairan, pengangkutan turun naik dan sebagainya.



MENGENAL PASTI GARIS SEMPADAN TAPAK BINA

Sebelum kerja pembinaan dimulakan , kedudukan sempadan tapak bina hendaklah diketahui. Ianya penting bagi kerja-kerja pembiaan sesebuah bangunan dilakukan di dalam tapak yang dicadangkan dan bukanya ke dalam lot tanah milik orang lain. 

Kerja ini dimulakan dengan mencari batu-batu sempadan yang ditanam berpandukan kepada pelan-pelan tanah atau tapak yang telah disahkan. Antara masalah yang mungkin timbul semasa mencarai batu-batu sempadan ini ialah batu sempadan hilang. Hal ini mungkin berlaku kerana batu sempadan tenggelam akibat pergerakan tanah atau ditutupi oleh akar atau pokok-pokok yang besar dan juga kemungkinan dialih atau dibuang oleh manusia. Oleh itu, tanah tersebut perlu diukur semula berpandukan pelan tanah dan berpandukan batu sempadan yang telah dijumpai. Kerja mengukur tanah perlu dilakukan ke atas batu sempadan untuk memastikan keluasan sebenar sesebuah lot tanah itu sama seperti yang terdapat di dalam pelan.



MENJALANKAN KERJA PEMBERSIHAN TAPAK

Keseluruhan tapak bina hendaklah dibersihkan sehingga ke had sepertimana yang ditunjukkan dalam pelan-pelan yang berkenaan. Kerja pembersihan ini termasuk kerja menebas, menyungkal dan membuang tanah atas yang tidak sesuai di kawasan tapak, membersih, meragut, meroboh, memecah dan membuang semua pokok-pokok, semak-semak, tumbuhan-tumbuhan, tunggul-tunggul, segala struktur seperti tembok-tembok, pagar-pagar dan lain-lain penghalang dalam lingkungan tapak bina yang telah ditentukan untuk diroboh atau dibuang. Kerja ini dilakukan dengan menggunakan jentolak. Kesemua tanah yang hendak dibuang dan sampah sarap hendaklah dialaih dan dibuang mengikut sepertimana yang diluluskan. Manakala tanah atas dibuang atau disimpan di tempat tertentu untuk kegunaan lain. 




MENDIRIKAN PAGAR ADANGAN (HOARDING BOARD)

Mengikut Aktar 1974 iaitu kesihatan dan keselamatan kerja menyatakan pagar adang perlu dibuat pada perimiter kawasan tapak untuk melindingi kawasan projek daripada bahaya dan kerja-kerja yang dijalankan didalam kawasan tapak untuk keselamatan orang awam.



GARIS PANDUAN PEMBINAAN PAGAR ADANGAN SEMENTARA (HOARDING BOARD) DI TAPAK PEMBINAAN


Berikut adalah syarat-syarat untuk Pagar Adangan Sementara (Hoarding Board) Tapak bina


Pembinaan sesuatu bangunan tidak boleh dimulakan sehingga pagar adangan sementara (Hoarding Board) didirikan untuk mengasingkan kawasan tapak bina. Pagar adangan sementara (Hoarding Board) hendaklah dibina sepenuhnya disekeliling atau menutupi kawasan tapak bina. 


Bagi pagar adangan sementara (Hoarding Board) yang berhadapan dengan jalan utama, pemaju diwajibkan untuk menghiasi pagar dan pintu masuk dengan illustrasi yang menarik. Illustrasi ini terdiri daripada iklan pemaju, kontraktor atau pembangunan tersebut sahaja. Iklan yang tidak berkenaan dengan pembangunan tersebut adalah tidak dibenarkan. 


Warna pagar adangan sementara (Hoarding Board) yang dibenarkan adalah biru atau kelabu. (bagi pagar yang tidak menghadap jalan utama) dan pagar adangan sementara (Hoarding Board) hendaklah tidak menghalang pili bomba & alat perkhidmatan kemudahan lain yang sedi ada.


Kain kanvas atau plastik hendaklah direntang sekiranya pagar adangan sementara (Hoarding Board) dibuka sementara. 


Kerja-kerja seperti membina ‘sheetpile’, longkang tepi dan sebagainya yang perlu dijalankan tanpa pagar adangan sementara (Hoarding Board) hendaklah dililitkan dengan pita amaran dengan jarak 1.0m dari kawasan kerja. Kawasan tapak pagar adangan sementara (Hoarding Board) hendaklah sentiasa diawasi oleh seorang pengawal untuk menghalang orang-orang awam daripada mencerobohi ke dalam tapak pembinaan. Pagar adangan sementara (Hoarding Board) hendaklah dibuka semula sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan siap dijalankan.



MENEMPATKAN JENTERA BERAT DAN KELENGKAPAN DI TAPAK BINA

Dalam era yang serba maju dan canggih ini, kebanyakkan projek-projek yang berkaitan dengan pembinaan menggunakan jentera yang bermotor dan canggih. Penggunaan jentera dan peralatan adalah penting dalam menjamin penjimatan masa serta keselamatan pekerja. Walaupun penggunaan jentera melibatkan kos yang tinggi, tetapi jika ia dirancang dan digunakan dengan berkesan ia pastinya akan mempercepatkan proses pembinaan sesebuah bangunan dan mengurangkan kos mengupah buruh. Kita perlu mengetahui perkembangan jentera-jentera serta peralatan moden masa kini sejajar dengan zaman teknologi. Dengan Penggunaan jentera dan mesin bermotor ini kita akan mendapat hasil yang lebih menguntungkan terutama dari segi masa, kos serta mutu binaan tersebut.

Di tapak bina jentera mestilah ditempatkan dengan cara yang betul supaya tidak menghalang laluan keluar dan masuk ke tapak bina. Jentera perlu diletakkan di kawasan yang sesuai jika tidak digunakan. Contoh jentera yang digunakan di tapak bina ialah jentolak, jenkaut, kren dan sebagainya. Bagi kelengkapan pembinaan seperti mesen-mesen perlu disimpan ditempat yang tertentu seperti di dalam stor. Ianya bertujuan mengelakkan kehilangan berlaku.



MENYEDIAKAN BINAAN SEMENTARA

Kerja permulaan ialah kerja-kerja awalan yang dilakukan untuk menyediakan segala bentuk kemudah dan keselamatan di tapak bina sebelum kerja-kerja pembinaan sebenar dilakukan termasuklah menyediakan: 

1. Pejabat dan tempat tinggal pekerja sementara

2. Bekalan air untuk kerja

3. Bekalan kuasa elektrik untuk kerja

4. Jalan-jalan sementara (access road)

5. Kemudahan telefon

6. Papan-papan tanda dan pagar adangan sementara (Hoarding Board)

7. Stor peralatan dan bahan 


Pejabat dan tempat tinggal pekerja sementara

Bagi projek yang besar memerlukan pejabat tapak bagi tujuan pengurusan pembinaan. Pejabat tapak di gunakan oleh kakitangan pengurusan konktraktor untuk perundingan. Dibina berdekatan dengan laluan masuk tapak pembinaan. Bagi projek yang besar yang memakan masa yang lama untuk menyiapkannya tempat tinggal pekerja sementara, kantin, stor untuk menyimpan bahan-bahan binaan serta peralatan dan tempat bertedur diperlukan. Kantin dibina berhampiran dengan tempat kerja supaya menjimatkan masa perjalanan untuk mencari tempat makan dan minum.



Bekalan air untuk kerja

Kemudahan Asas Bekalan air Bagi mendapat paip sementara, kontraktor perlu kelulusan daripada jabatan bekalan air dengan menjelaskan bayaran pendahuluan pada kadar yang ditetapkan sebelum bekalan air disediakan.



Bekalan kuasa elektrik untuk kerja

Lampu dan kuasa untuk kerja. Bekalan kuasa atau elektrik merupakan suatu perkara yang perlu di adakan di tapak bina. Kegunaan kuasa ini adalah untuk mengendalikan peralatan-peralatan mesin dan juga memasang lampu pada waktu malam bagi tujuan keselamatan. Tanpa bekalan elektrik peralatan-peralatan kuasa dan mesin tidak dapat digunakan yang mana akan menjejaskan perjalanan kerja.



Jalan-jalan sementara (access road)

Jalan-jalan sementara hendaklah dibina. Laluan ini dibina di atas tapak yang telah dikenalpasti sebagai jalan utama menuju ke bangunan tersebut. Jalan sementara Diperlukan untuk membawa masuk atau keluar bahan-bahan. Saling menghubungkan antara laluan masuk, kawasan simpadan dan tempat aktiviti pembinan. Keperluanya sama seperti laluan masuk. Mempunyai keupayaan menggalas beban kenderaan yang berat



Kemudahan telefon

Kemudahan telefon penting untuk melancarkan kerja-kerja permbinaan. segala urusan termasuklah membeli bahan-bahan,peralatan dan sebagainya dapat di uruskan dengan lebih cepat. Urusan untuk mendapatan Bekalan telefon sementara boleh dibuat dengan cara berhubugan dengan pihak telekom. Bayaran pendahuluan dan bayaran pemasangan dikenakan pada kadar yang tertentu.




Papan-papan tanda dan pagar adangan sementara (Hoarding Board)


Papan tanda yang perlu diletakan di tapak pembinaan ialah papan tanda keselamatan dan papan tanda projek. Papan tanda perlu dipasangkan di tempat yang mudah dilihat. Bagi pagar adangan sementara (Hoarding Board) pula perlu dipasangkan di sekeliling tapak bina.




Stor peralatan dan bahan

Stor simpanan dibina untuk menyimpan bahan dan peralatan yang perlu diberi perlindungan Cuaca. Contohnya seperti simen, cat, kerja besi untuk tingkap dan pintu , papan lembut dan lain-lain. kedudukan stor ini perlu lebih hampir dengan tempat kerja.


SUSUN ATUR TAPAK BINA

Susun atur tapak harus dibuat untuk menempatkan kedudukan pejabat, tempat tinggal sementara pekerja, tempat letak jentera dan lain-lain lagi.

Kedudukan pejabat dan tempat tinggal sementara pekerja

Kedudukan pejabat harus diatur agar senang dimasuki oleh mereka yang terlibat. Sebaik-baiknya berdekatan dengan jalan masuk

Saiz reka bentuk pejabat tapak bergantung kepada saiz projek.

Tempat tinggal sementara pekerja bergantung kepada jumlah pekerja.

Tempat letak kereta

Tempat letak kereta diperlukan oleh kakitangan tapak. Biasanya, ia ditempatkan berdekatan dengan pejabat tapak.

Tempat letak kereta juga perlu untuk pihak-pihak lain yang berurusan dengan projek tersebut seperti pembekal bahan, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain



Stor tapak dan kantin

Stor harus terkawal dan terletak berdekatan dengan tempat kerja

Lazimnya stor dibina daripada bangsal kayu berkunci

Kantin dan kemudahan kebajikan juga perlu dibina

Lokasi sesalur bekalan perkhidmatan tapak bina

Sambungan saluran paip air untuk kegunaan pejabat tapak, tempat tinggal sementara pekerja dan “stand pipes” untuk membancuh konkrit dan mortar

Perkhidmatan telefon sementara untuk kegunaan pejabat dan pekerja

Bekalan elektrik sementara untuk kegunaan pejabat tapak, tempat tinggal sementara pekerja, stor dan sebagainya



Jalan masuk

jalan masuk dan jalan keluar sebaiknya satu laluan sahaja
papan tanda petunjuk bagi memudahkan pergerakkan kenderaan dan logi perlu dipasang

pastikan kedudukan kemudahan seperti paip air, peparit dan jarak dengan binaan tidak menghalang pergerakan keluar dan masuk.


Pagar “hoarding”

untuk melindungi kawasan projek dan keselamatan orang awam


Papan tanda pembinaan

kontraktor hendaklah mengadakan, mendirikan, mengecat dan menyenggara satu papan tanda di dalam Bahasa Melayu seperti yang ditunjukkan dalam pelan-pelan yang berkenaan atau seperti yang diarahkan oleh Pegawai Pengurusan

papan tanda hendaklah didirikan di tempat yang nyata di tapak bina seperti yang diluluskan oleh Pegawai Pengurusan.



MERANCANG TANDA TAPAK

Sebelum kerja-kerja pembinaan sesebuah pembinaan dapat dijalankan, tapaknya mestilah dikenalpasti, sempadannya ditentukan dan kawasannya dibersihkan. Kerja menanda kedudukan bangunan dikenali sebagai merancang tanda tapak. Istilah-istilah yang berikut sering digunakan dalam kerja merancang tanda tapak :


· Garisan bangunan

Garisan luar yang meliputi sesuatu bangunan.

· Aras datum

Satu aras yang diambil sebagai panduan untuk menandakan aras yang lain bagi bangunan yang akan didirikan. Di tapak bina, datum ini boleh dibuat dengan membina satu tiang bata yang sementara ataupun menandakan pada binaan berdekatan yang sedia ada.

· Batu sempadan

Tiang kecil yang diperbuat daripada konkrit yang ditanam oleh Jabatan Ukur untuk menentukan sempadan sesuatu lot tanah.

· Nombor lot

Tiap-tiap satu lot yang telah diukur oleh Jabatan Ukur diberikan satu nombor untuk rujukan

· Garisan asas

Garisan yang mana menunjukkan di mana asas
bangunan yang dikehendaki. Garisan ini membolehkan
lubang asas dikorek.


Mentafsir pelan tapak

Pelan tapak bangunan hendaklah diteliti untuk mengetahui kehendak-kehendak arkitek sebelum kerja merancang tanda dimulakan. Pengetahuan ini memberi bantuan dalam perancangan yang lebih berkesan dan menguntungkan. Pentafsiran hendaklah mengambil kira perkara-perkara yang berikut :


1. Skala, anak panah utara (north arrow), aras datum, tarikh ukur tanah.
2. Garisan sempadan
3. Kedudukan bangunan dan struktur lain seperti asas, tembok, pagar, tangga dan sebagainya.
4. Keadaan jiran – bangunan, jalan, saliran air dan sebagainya.
5. Kemudahan-kemudahan – paip air, bekalan elektrik, telefon, paip gas, pembetungan awam dan lain-lain.
6. Kedudukan sungai, paya, lombong dan lain-lain lagi yang berdekatan.
7. Kontur dan kecerunan tanah tapak.



Mengaras

Tapak bangunan perlu diaraskan terlebih dahulu untuk mengetahui berapa banyak tanah yang hendak dipotong atau ditambah dan juga menentukan pemandangan daratan. Pengarasan ini biasanya dilakukan oleh juru ukur menggunakan alat aras dan stafnya.

Kaedah merancang tanda tapak bangunan

Setelah pelan kedudukan bangunan ditafsirkan, kedudukan ini hendaklah ditandakan pada tapak bina dengan pancang mengikut langkah-langkah seperti berikut :

1.Menentukan kedudukan batu sempadan dan memastikan arah bangunan. Menetapkan kedudukan garisan bangunan pertama dengan mengukur dari batu sempadan. Garisan ini mestilah sekurang-kurangnya 6 meter dari sempadan yang menghadapi jalan (mengikut syarat bagi kawasan perumahan). Kemudian kedudukan kedua-dua sudut bangi bangunan tersebut, iaitu titik A & B, ditandakan pada garisan pertama ini dengan menggunakan pancang kayu berukuran 50mm x 50mm x 300mm.

2.Kedudukan yang tepat bagi sudut-sudut bangunan ini dipakukan pada pancang-pancang tersebut di titik A dan B.

3.Di atas garisan AB tanamkan pancang pada F dengan jarak 3m dari A, dan pakukan pada pancang ini kedudukan tepat 3 m dari A.

4.Dapatkan kedudukan E dengan menarik pita pengukur dari A dan F supaya jaraknya tepat 4m dari A dan 5m dari F. Sudut EAF adalah sudut tepat 90ยบ (berdasarkan 3,4,5 bagi segitiga bersudut tegak).

5.Kedudukan titik D didapati dengan menyusul AE dan diukur dengan pita pengukur.

6.Kedudukan titik C boleh didapati dengan menarik pita pengukur dari D dan B mengikut ukuran DC dan CB. Pancang ditanamkan dan kedudukan C yang tepat dipakukan.

7.Menguji kejituan kerja merancang tanda dengan mengukur jarak pepenjuru AC dan BD. AC = BD menunjukkan sudut-sudut dalam segiempat ABCD adalah sudut tepat. Cara ini adalah lazim diamalkan. Kaedah lain ialah dengan menggunakan alat aras dan sesiku binaan. Sesiku binaan adalah sesiku yang besar (1.8m x 2.4m, saiznya tidak tetap dan dibuat mengikut keadaan yang memerlukannya). Diperbuat daripada kayu dengan sudut tepat. Alat ini khas dibuat untuk mendapatkan sudut tepat dalam merancang tanda tapak.



Pancang ukur tapak

Selepas kedudukan tembok bangunan ditandakan, tindakan hendaklah diambil untuk mengekalkan tanda-tanda ini. Kaedah yang diamalkan ialah menggunakan pancang ukur tapak seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah. Kaedah ini membolehkan tanda-tanda kedudukan bangunan dipindahkan kepada pancang ukur tapak semasa kerja-kerja menggali peparit untuk asas dilakukan. Pancang ini didirikan di sekeliling garisan bangunan dengan jarak sekurang-kurangnya 1.2 m dari garisan tersebut. Jarak ini diperlukan supaya pancang yang didirikan itu tidak mengganggu kerja-kerja pembinaaan yang akan dijalankan.

Tanda-tanda kedudukan bangunan dipindahkan ke pancang ukur tapak ini dan juga ditambahkan tanda-tanda kedudukan asas, tembok-tembok sekatan dan sebagainya yang tidak ditanda di atas tapak tadi. Tanda-tanda ini hendaklah dibuat secara kekal dengan memaku ataupun digergaji supaya tidak mudah hilang. Tanda-tanda kedudukan tembok boleh dibuat mengikut cara garisan tengah ataupun garisan tepi bergantung kepada kehendak spesifikasi. Pancang ukur tapak boleh dibuat di sekeliling bangunan ataupun pada penjuru-penjuru bangunan sahaja. Bahan yang digunakan tidak semestinya kayu tetapi tembok bata sementara juga boleh digunakan. Pancang ukur tapak ini hendaklah rata untuk memastikan ukuran yang tepat.

Apabila peparit siap digali, kedudukan yang telah ditandakan itu boleh dipindahkan ke tapak dengan menggunakan benang yang diikat pada pancang ukur tapak mengikut tanda-tandanya supaya bersilang. Kedudukannya ditandakan dengan bantuan batu ladung. Aras yang diperlukan adalah berpandu pada aras datum yang telah ditetapkan. Pemindahan aras dari datum ke bangunan boleh dibuat dengan menggunakan alat aras atau menggunakan hos air dan tandakan kepada pancang yang ditanam ke dalam tanah.




Kaedah memindah aras dengan hos air

Kegunaan hos air sebagai alat aras adalah berdasarkan kepada prinsip bahawa air mencapai aras yang sama di mana-mana dalam sesuatu kandungan yang sama. Hos air yang lutsinar berisi air merupakan alat yang senang digunakan untuk memindahkan aras dari satu tempat ke satu tempat yang lain di tapak bina.

Saiz hos yang sesuai digunakan berubah dari 5mm diameter hingga 20mm diameter diperbuat daripada getah atau plastik yang lutsinar.

Hos itu hendaklah diisi dengan air terlebih dahulu dan hendaklah dipastikan tiada buih atau ruang-ruang udara yang terdapat di dalamnya. Satu hujungnya diletak dengan tanda A (lihat rajah) yang merupakan aras asal sebagai aras rujukan. Hujung yang satu lagi ditempatkan pada tempat yang hendak disearaskan, misalnya pada titik B. Apabila aliran air di dalam hos berhenti, didapati aras B adalah sama tingginya dengan aras A. Tempat-tempat yang lain boleh juga ditandakan dengan cara yang sama untuk mendapatkan aras yang sama.

Perhatian hendaklah diambil untuk memastikan bahawa ruang udara tidak berlaku dalam hos selepas air diisikan. Kehadiran ruang udara dalam hos mungkin akan mengakibatkan aras yang ditanda itu tidak tepat.



TERIMA KASIH KERANA MEMBACA






















4 ulasan:

  1. sangat berguna terima kasih untuk segalanya :)

    BalasPadam
  2. Sangt membantu untuk mencari maklumat tambahan..๐Ÿ˜€

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum encik, terima kasih atas perkongsianya.. kalau tak keberatan, boleh tak encik sertakan nama penuh encik di profile atau di akhir penulisan supaya kami (pelajar) boleh menjadikan sumber rujukan dari internet..

    BalasPadam